Tuesday, 18 September 2012

Ucapan YAB Perdana Menteri Malaysia di Pelancaran MyCreative

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN HAJI ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
MAJLIS PELANCARAN MYCREATIVE VENTURES SDN BHD
PADA 12 SEPTEMBER 2012, PUKUL 3.00PTG, PEJABAT PERDANA MENTERI.


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Sejahtera dan Salam Satu Malaysia.

Yang Berhormat dan Yang Berbahagia, Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Dato’ Sri-Dato’ Sri, Datin Sri-Datin Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin,

Ahli-ahli seni industri kreatif Malaysia,

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,

1. Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan izin-Nya kita dapat berkumpul di sebuah Majlis yang bermakna ini lagi.

2. Pada hari ini, satu lagi program yang amat dinanti-nantikan oleh pencinta seni dan industri seni kreatif Malaysia kerana ia bakal menyaksikan satu lagi inisiatif baru yang akan mengangkat lagi martabat ahli-ahli seni dan industri kreatif.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

3. Sebagai rakyat Malaysia yang telah mencapai kemerdekaan selama 55 tahun, seharusnya bersyukur kerana dapat menikmati kehidupan dalam suasana yang aman dan makmur. Sepanjang 55 tahun kemerdekaan Malaysia, kita telah menempuhi pelbagai perubahan dan mengecapi kejayaan yang penyumbangnya adalah daripada setiap kita rakyat Malaysia tanpa mengira umur, kaum, budaya dan latar belakang sosial.

4. Kepelbagaian etnik dan budaya ini juga telah membuktikan Malaysia sebagai sebuah negara yang begitu unik. Kita semua dapat hidup dengan penuh keharmonian, saling hormat menghormati dan mengekalkan kesenian dan kebudayaan kaum masing-masing. Malah kita patut merasa bangga dengan kekayaan budaya yang diwarisi dan dapat dikekalkan sejak zaman berzaman sehingga ke hari ini.

5. Saya juga berbangga dengan ahli-ahli seni dan pejuang industri kreatif yang telah mengetengahkan hasil-hasil seni ke tahap yang membanggakan. Golongan belia yang energetic dan mempunyai creative minds atau idea-idea baru turut menyumbang hasil-hasil nukilan mereka bagi menggiatkan lagi industri seni dan kreatif tanahair.

6. Industri seni dan industri kreatif merupakan satu sektor yang perlu diberi fokus dan diperkembangkan lagi kerana ia akan memberi kesan positif kepada ekonomi Negara. Ini penting kerana seni dan budaya memberi identiti yang unik di pentas dunia. Sebagai contoh, India dengan industri filem di Bollywood, Amerika di Hollywood, Itali dengan industri fesyen di Milan, Korea dengan industri muzik K-Pop yang sedang berada di kemuncaknya dan telah menjadi ikon dan ikutan anak-anak muda kini. Ia membuka mata kita terhadap khazah seni kita sendiri. Saya percaya, dengan adanya inisiatif untuk menimbulkan kesenian yang sedia ada di Malaysia, kita akan dapat memberi identiti unik kepada Malaysia di mata dunia.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

7. Kerajaan sentiasa prihatin terhadap suara dan nurani golongan belia. Menyedari kepentingan dan potensi industri kreatif ini yang boleh menjana pendapatan ekonomi kepada Negara, pada pembentangan Bajet 2012, saya telah umumkan peruntukan dana berjumlah RM200 juta sebagai dana yang akan dilaburkan untuk perniagaan-perniagaan yang berpotensi di dalam industri kreatif Negara. Bagi merealisasikannya, pada 20 April 2012, Kerajaan telah menubuhkan sebuah syarikat pelaburan untuk industri kreatif Malaysia yang bernama MyCreative Ventures Sdn. Bhd.

8. Langkah ini dijangka akan dapat memberi nafas yang baru untuk mempertingkatkan lagi status dan kepentingan industri kreatif terutamanya dari segi ekonomi Negara. Dengan adanya syarikat MyCreative Ventures ini, peniaga-peniaga industri kreatif yang berpotensi dapat memperolehi modal sama ada dalam bentuk ekuiti ataupun pinjaman dari MyCreative Ventures. Modal ini memberi peluang untuk idea-idea baru diketengahkan dalam bentuk modal perniagaan yang berpotensi untuk menjana pendapatan dari industri kreatif Negara.

9. Kerajaan berpendapat bahawa pelaburan sedemikian adalah wajar kerana ianya akan memberi kesan jangka panjang yang positif. Peluang modal untuk mewujudkan atau memperbesarkan lagi perniagaan kreatif akan dapat mewujudkan peluang pendapatan. Peluang pendapatan ini pula akan dapat mewujudkan peluang pekerjaan bukan sahaja kepada ahli-ahli seni Negara yang sedia ada, juga kepada graduan-graduan dari institusi- institusi seni yang ingin bekerja di Malaysia. Kesinambungan kesan positif ini seterusnya akan mewujudkan “multiple effect” di mana sumbangan industri kreatif kepada ekonomi Negara dapat dipertimbangkan.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

10. Seperti yang kita semua sedia maklum, Malaysia mempunyai Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) yang digubal sebagai dasar induk untuk menetapkan prinsip-prinsip asas pembangunan industri kreatif. Dengan kata lain, DKIN digubal untuk memacu kegiatan kreatif Negara. Dengan dasar ini, Kerajaan akan memperkukuhkan perjuangan industri kreatifnya melalui operasi MyCreative Ventures. Industri-industri kreatif yang dimaksudkan itu terdiri daripada:
i. Seni Visual seperti Seni Lukis dan Gubahan Bentuk (“Sculpture”);
ii. Seni Persembahan (“Performing Arts”) seperti Teater dan Tarian;
iii. Muzik;
iv. Kesusteraan (“Literature”)
v. Kandungan Kreatif seperti Animasi dan Perfileman;
vi. Seni Fesyen dan Rekaan; dan
vii. Seni Tradisional seperti Kraftangan, Batik dan sebagainya.

11. Kalau dahulunya ibubapa-ibubapa di Malaysia tidak membenarkan anak-anak mereka berkecimpung di dalam bidang kreatif kerana kurang keyakinan dari segi kestabilan pendapatan kewangan atau tidak terjamin masa depannya. Pandangan yang berlainan pula dengan ibubapa-ibubapa abad ke-21 kini yang mempunyai pandangan yang lebih terbuka. Dengan adanya institusi-institusi pendidikan tinggi yang menawarkan bidang kreatif, makin ramailah ahli-ahli seni yang muda di dalam ekologi ekonomi Negara.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

12. Sebagai sebuah Negara yang peka terhadap perubahan rakyatnya, amat wajar merubah mengikut aliran zaman. Kerajaan amat prihatin terhadap keperluan ini dan berlandaskan Visi 2020 yang dipegang teguh, lanskap industri kreatif Negara juga berpeluang untuk berkembang maju. Hasrat ini adalah hasrat murni. Hasrat yang dipegang oleh MyCreative Ventures di mana nilai estatik akan dapat direalisasikan dengan harapan yang tinggi, InsyaAllah.

13. Saya juga yakin bahawa pihak pengurusan MyCreative Ventures yang diterajui oleh pengerusinya, Dato’ Sri Ahmad Farid Ridzuan, dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Johan Ishak, akan dapat mencapai hasrat dan aspirasi Kerajaan untuk meletakkan industri kreatif Negara di peringkat yang membanggakan, InsyaAllah.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, dengan sukacitanya, saya memperkenalkan MyCreative Ventures kepada rakyat Malaysia.

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment