"Seniman di awan perlu disauhkan kembali ke Bumi nyata"
Pada suatu ketika aku berpeluang berdebat dengan seorang seniman, seorang karyawan, seorang penulis yang juga seorang kawan lama. Naluri beliau amat kecewa dengan sikap rakyat negara ini yang kononnya buta seni. Kita, dikatakan tidak mengendah seni sebagai satu aspek kehidupan yang relevan. Lihat saja bagaimana negara asing menerima seni seadanya sebagai komponen pembangunan budaya dan minda manusia yang menjanjikan kesinambungan evolusi yang progresif. Seni di negara ini hanya memberi makna jika ia membabitkan pulangan wang yang setimpal. Aku hanya cuma mampu berkata "Seniman di awan perlu disauhkan kembali ke Bumi nyata". beliau bertanya "Apa maksud kau?" Aku bilang, "Senang saja 'brader', seni perlu di'komersial'isasikan". Beliau berkata "Itulah dia dilema seniman. Kalau nakkan duit, maka seni tidak bermakna. Seni tidak bebas. Seni cuma diperlacurkan demi wang".
Sebelum rakyat dapat menerima seni sebagai aliran utama untuk punca pendapatan, ianya perlu memberi kesan ekonomi yang cukup untuk memberi peluang bakal-bakal seniman untuk mengecapi kehidupan yang menjanjikan rezeki yang stabil. Kalau seorang anak meminta dari kedua ibubapanya "Ayah, Mak, saya nak belajar muzik (sebagai contohnya)". Nescaya ibubapa akan menolak idea itu sama sekali. Kononnya bidang iktisas (profesional) yang lain seperti kejuruteraan, perakaunan atau peguaman lebih menjanjikan masa depan yang cerah bagi anak-anak mereka. Sebenarnya, mereka tidak salah. Mereka hanya impikan apa yang terbaik untuk anak-anak. Maka dengan itu, secara keseluruhannya, kita perlu memertabatkan seni secukup tinggi untuk sampai ke tahap relevan yang memadai bagi rakyat menerima seni sebagai bidang profesional yang diterima umum.
Siapalah sangat seniman yang boleh mengais rezeki di negara ini? Aku bukannya peka sangat terhadap dunia seni tanahair tetapi kalau diungkapkan kembali minda aku ini, cuma segelintir nama sahaja yang dapat aku lafazkan. Seni lukis mungkin ada dua tiga nama seperti Allahyarham Ibrahim Hussein, Ismail Latif dan Jaafar Taib. Seni reka cuma satu nama yang terkeluar dari pemikiran ini, iaitu Hijaz Kasturi (entah Dato' atau tidak). Seni perfileman ada banyak tapi aku cuma ingat Dato' Yusuf Haslam. Seni muzik lebih banyak pengikutnya seperti Dato' M. Nasir, Ahmad Izham Omar dan KRU. Kartunis, tak lain tak bukan, Dato' Lat. Seni tarian misalnya ada Pat Ibrahim. Memang kita boleh senaraikan nama dengan panjang jelanya tetapi, bolehkan seniman mengais rezeki yang secukupnya? Pokoknya, cuma sebilangan kecil sahaja yang dapat mencapai tahap ekonomi yang memberangsangkan.
Punca akar umbinya ialah masyarakat itu sendiri. Jika masyarakat tidak menerima seni sebagai satu aspek kehidupan yang penting, maka sampai bila-bilalah seni tidak diberi pengiktirafan yang bermakna, atau setakat minimanya, sekurang-kurang diberi peluang untuk berkembang. Memang banyak institut pengajian menawarkan bidang seni untuk siswa/siswi seperti Universiti ITM atau Lim Kok Wing, tetapi graduan-graduan seni masih menghadapi benteng yang mengecewakan apabila perjuangan seni itu hanya boleh mendatangkan pendapatan dari sudut akademia sahaja.
Apa yang perlu berlaku adalah 'komersial'isasi seni di negara ini. Masyarakat perlu mengubah minda untuk memberi peluang kepada dunia seni. Memang kerajaan ada peruntukan untuk seni tetapi tidak mencukupi pada firasat aku. Seni perlu wujud dalam naluri kita. Sebagai contohnya 'Theatre'. Semenjak Istana Budaya ditubuhkan, makin ramai penghuni Kuala Lumpur boleh menerima seni itu. Dengan itu muncullah pelbagai usahawan yang mahu berkecimpung di dalam bidang 'Theatre'. Itu pun bukan semua yang sanggup teruskan perjuangan. Baru-baru ini aku melayar 'blog' seorang ahli 'Theatre', Boudeng. Aku berasa sedih kerana beliau secara terang-terang mengumumkan yang beliau tidak lagi mahu meneruskan perjuangan 'Theatre'.
Ada banyak lagi bidang seni yang masyarakat patut menghayati. Sebagai contohnya seni lukis. Tidak banyak yang sanggup membelanjakan wang untuk membeli lukisan sebagai pelaburan. Kalau di Paris atau di New York, pelukis boleh membuat duit yang lumayan. Saya difahamkan bandaraya-bandaraya di Amerika sudahpun mempolisikan peruntukan wang untuk seni bagi projek bangunan. Makna kata, jika sesebuah syarikat ingin membina bangunan, ia mesti melibatkan seni, kebanyakan dalam bentuk 'Sculpture'. Walaupun ini merupakan satu pemaksaan, ianya, mungkin, satu hari nanti akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara. Lihat saja Menara Berkembar Petronas. Tidakkah banyak pengunjung dari luar negara yang datang ke Malaysia? Mereka (pelancong) membelanjakan wang di negara kita dan dengan secara tidak langsungnya memberi kesan positif kepada ekonomi negara melalui wang pelancongan.
Kita sudah lihat bagaimana manusia dari segala pelusuk dunia membelanjakan wang untuk pergi ke Louvre di Paris untuk hanya berdiri selama sepuluh saat di hadapan lukisan Mona Lisa oleh Leonardo Da' Vinci. Banyak lagi contoh-contoh yang masuk akal seperti seni Gaudi di Barcelona, Statue of Liberty di New York, lukisan-lukisan oleh Raphael dan Michaelangelo di Vatican City, seni perusahaan kaca di Venice dan banyak lagi. Di Malaysia apa yang kita ada? Kalau Tun Mahathir tak benarkan Menara Berkembar Petronas, yang ada hanyalah lukisan di dinding pagar Penjara Pudu. Itu pun sudah hancur diroboh. Tak usah pergi jauh. Saya difahamkan di Vietnam ada Lembah Pelukis ('Valley of Artist') di mana pelancong boleh pergi membeli pelbagai lukisan di sebuah perkampungan pelukis. Bayangkan Vietnam yang tidak sehebat Malaysia dari segi ekonominya pun boleh wujud kesedaran seni sebagai sesuatu yang relevan. Ya! memang Malaysia pun ada, contohnya pembuatan wau, songket dan ukiran di Pantai Timur, tetapi tidaklah sehebat artifak-artifak seni yang boleh diperolehi dari Bali, sebagai contohnya. Aku berasa amat sedih. Bukan sahaja sahabat lama yang aku baru jumpa hari ini, malah seminggu yang lalu pun aku berjumpa dengan pengusaha seni 'sculpture' yang memberi ulasan yang sama, iaitu, seni di negara ini tidak boleh buat duit. Sebagai pencinta seni, aku berasa keinginan untuk berkecimpung di dalam bidang peng'komersial'isasi seni untuk memperjuangkan nasib seniman ataupun bakal seniman negara di masa hadapan. Setakat ini aku belum menjumpai aliran yang boleh memberi aku peluang untuk mengais rezeki yang stabil sambil memperjuangkan seni tanahair. Kalaulah diberi peluang, kemungkinan aku akan turut serta inisiatif-inisiatif yang seumpama itu.
Aku bermimpi suatu hari nanti kalau anak aku berkata "Daddy, saya mahu belajar muzik (atau seni lukis, atau seni lakonan, atau seni apa pun)", aku akan dengan senang hatinya berkata "Silakan anak". Tapi apakan daya, aku pun takut untuk membenarkan kehendak yang sedemikian. Tapi apa-apa pun, kita semua, masyarakat secara keseluruhannya perlu barganding bahu memberi peluang kepada seniman dan bakal seniman di negara ini. Bak kata Dato' Ibrahim Hussein sebelum permergian beliau kembali ke Rahmatullah: "Seniman, walaupun tidak praktikal, kami berkarya dari lubuk naluri yang datang dari keperibadian seniman itu sendiri untuk dunia yang kita semua kenali" - translasi dari ucapan beliau di dalam Bahasa Inggeris yang berbunyi "Artists, creative people, we're not practical, we work from the heart. It comes out of your private world and into the world everyone knows"
"Seniman, walaupun tidak praktikal, kami berkarya dari lubuk naluri yang datang dari keperibadian seniman itu sendiri untuk dunia yang kita semua kenali" Kata-kata Allahyarham Dato' Ibrahim Hussein
* Johan Ishak
No comments:
Post a Comment