TEKS UCAPAN
ENCIK JOHAN MOHAMED ISHAK
KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF MYCREATIVE VENTURES SDN BHD
DI MAJLIS PELANCARAN MYCREATIVE VENTURES SDN BHD
PADA 12 SEPTEMBER 2012 (RABU), PUKUL 3.00 PETANG,
DI PEJABAT PERDANA MENTERI
Yang Amat Berhormat, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.
Yang Berhormat, Dato’ Seri Husni Hanadzlah, Menteri Kewangan 2.
Yang Amat Berbahagia, Tun Zaki Tun Azmi.
Yang Berbahagia, Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Dato’ Sri-Dato’ Sri, Datin Sri-Datin Sri, Dato’–Dato’, Datin–Datin, Tuan-Tuan, Puan-Puan dan pejuang-pejuang seni tanahair yang hadir.
Assalamuaalaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.
Manusia hidup bertamadun. Seringkali tamadun-tamadun mahsyur yang lampau pupus dan hanya meninggalkan kesan-kesan budaya. Antara peninggalan yang memberi corak dan perwatakan budaya adalah hasil kreatif sesuatu tamadun. Hasil kreatif dan evolusi kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan. Malangnya, sesetengah manusia dewasa ini menolak dan tidak mengendahkan kepentingan hasil kreatif. Kenapa perlu angkuh sehingga alpa untuk menguasai dan memahami fenomena kreatif dalam kehidupan kita? Sedangkan Rasulullah s.a.w. bermukjizatkan seni syair dan sastera tinggi untuk menjinakkan masyarakat jahiliah, inikan pula manusia biasa. Oleh itu, berilah ahli-ahli kreatif, dalam apa bidang kreatif sekali pun, suatu taraf kelainan sebagai pencorak budaya dan penyumbang ilmiah dalam menjayakan usaha kesinambungan prestasi tamadun.
Kalau dilihat melalui sejarah sesuatu Negara, terdapat 3 peringkat utama evolusi sebuah Negara. Pertama, kewujudan Negara tersebut sebagai satu Negara yang berdaulat. Ini sudah pun dicapai oleh Malaysia dengan kemerdekaannya pada tahun 1957 dan juga pengiktirafan dunia terhadap pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh Malaysia di persada dunia mengenai pelbagai isu-isu dunia. Kedua, kekuatan ekonomi sesuatu Negara. Seperti yang semua sedia maklum, Malaysia berkembang dengan pesatnya selama 55 tahun dari sebuah Negara pertanian ke sebuah Negara perindustrian yang mempunyai kekuatan ekonomi yang memberangsangkan. Peringkat yang terakhir evolusi sesebuah Negara ialah Identiti Budaya dan Tamadun. Di peringkat inilah rakyat Malaysia perlu berganding bahu untuk menentukan keunikan identiti Malaysia di mata dunia. Masanya adalah sekarang sejajar dengan usaha menjadikan Malaysia sebuah Negara yang dimajukan menjelang tahun 2020. MyCreative Ventures berhasrat untuk menyambut seruan ini.
Seperti yang semua sedia maklum, Kerajaan Malaysia telah menubuhkan MyCreative Ventures Sdn Bhd sejajar dengan saranan Kerajaan Malaysia di dalam Belanjawan 2012 yang telah memperuntukan dana berjumlah RM200 juta. Dana ini bertujuan untuk dilaburkan ke dalam industri kreatif Negara. Bukan sahaja dana ini dapat memberi peluang untuk industri kreatif Negara berkembang, ianya juga akan dapat memberi peluang kepada ahli-ahli kreatif itu sendiri untuk mengibarkan bendera kesenian mereka.
Usahawan-usahawan yang beraspirasi untuk bekerjasama dengan ahli-ahli kreatif yang terdiri dari seniman-seniman Seni Visual, Seni Persembahan, Muzik, Sastera, Kandungan Kreatif, Fesyen & Rekaan dan juga Seni Tradisional; akan berpeluang untuk merealisasikan idea-idea keusahawanan mereka dengan adanya punca modal teroka dari MyCreative Ventures samada dalam bentuk ekuiti ataupun pinjaman. Sebagai penyumbang modal, MyCreative Ventures juga akan bekerjasama dengan usahawan-usahawan tersebut untuk meneraju perniagaan-pernigaan industri kreatif untuk mencapai matlamat MyCreative.
Apakah matlamat MyCreative? MyCreative mempunyai visi dan misi yang murni, iaitu meletakkan industri kreatif Negara di peringkat yang lebih tinggi berpandukan tiga kata kunci, iaitu: (1) Nilai Kreatif; (2) Pulangan; dan (3) Jangka hayat yang berpanjangan (Di dalam Bahasa Inggerisnya: Creativity with Sustainable Rewards.) Ini adalah satu konsep yang bersulamkan perspektif-perspektif sosial, budaya dan ekonomi. Ianya berhasrat untuk meneruskan usaha kreatif dengan tatacara yang menjanjikan pulangan dari segi ekonomi, peluang pekerjaan dan juga pembangunan industri kreatif itu sendiri. Sekaligus, ini akan memberi nafas dan semangat untuk perwatakan budaya Malaysia.
Mengikut statistik kajian, Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) Malaysia yang disumbang oleh industri kreatif adalah berjumlah sebanyak RM9.4 billion, iaitu 1.27%. Angka ini adalah rendah berbanding dengan negara-negara seperti Kanada sebanyak 7.4%; Great Britain sebanyak 6.4% dan Singapura sebanyak 5.6%. Walaubagaimanapun, menjelang tahun 2020, RM9.4 billion ini dijangka akan berkembang menjadi RM33 billion, iaitu 2.2% Keluaran Dalam Negara Kasar, jika industri ini tumbuh pada kadar 11% setiap tahun. Maka, adalah wajar MyCreative ditubuhkan supaya aspirasi ini dapat dicapai.
Usahawan-usahawan yang beraspirasi untuk menyambut seruan MyCreative Ventures dalam usahanya untuk memperkayakan industri kreatif Negara boleh mengemukakan permohonan mereka melalui laman web MyCreative di www.mycreative.com.my. Penilaian idea-idea yang akan dikemukakan oleh usahawan-usahawan kreatif akan dilakukan oleh pihak pengurusan yang berkelayakan profesional dan juga pakar industri kreatif yang berkenaan. Ini dapat memberi keyakinan yang lebih bermakna dalam usaha MyCreative untuk mencapai matlamatnya yang berpandukan nilai kreatif yang memberi pulangan selama jangka hayat yang berpanjangan.
Dengan harapan yang membukit, saya ingin meluahkan rasa Terima Kasih ke atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk meneraju MyCreative Ventures. Moga-moga usaha akan bertemu kejayaan, InsyaAllah. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada Y.A.B. Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan 1 dan Dato’ Sri Husni, Menteri Kewangan II, kerana menjadikan impian MyCreative ini satu kenyataan. Dengan ini, saya sudahi ucapan saya dengan kalimah suci, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamuakaikum Warahmatuallahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia. Terima Kasih.
Johan Ishak
Ketua Pegawai Eksekutif
MyCreative Ventures Sdn Bhd
No comments:
Post a Comment