Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia.
Yang Berbahagia Dato’ Sri Ahmad Farid Ridzuan;
Pengerusi, MyCreative Ventures Sdn Bhd,
Yang Berusaha Encik Johan Ishak;
Ketua Pegawai Eksekutif, MyCreative Ventures Sdn Bhd,
Dif-dif Kehormat,
Ahli-ahli seni industri kreatif Malaysia,
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian,
1. Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan IzinNya kita dapat berkumpul di sebuah majlis yang bermakna pada tengahari ini.
2. Pada hari ini, kita bersama-sama berpeluang menyaksikan satu lagi usaha murni Kerajaan dalam mengangkat martabat industri seni dan kreatif negara ke suatu tahap yang lebih tinggi malahan pada masa yang sama memberi manfaat kepada bukan sahaja pengamal, juga kepada pencinta seni tanah air.
Tuan-Tuan dan Puan-puan sekalian,
3. Ada sesetengah daripada kita telah dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wataala dengan kemahiran atau kepandaian dalam bidang masing-masing yang membuatkan seseorang itu sangat unik sekali.
4. Dengan anugerah yang diberi ini, kadang-kadang membuatkan nasib atau tuah seseorang itu menyerlah dan dapat dijadikan sebagai punca pendapatan utama mahupun membuatkan seseorang itu menjadi kaya raya serta mampu menempa nama di serata dunia.
5. Sebagai contoh, seniman-seniman antarabangsa adalah seperti pelukis Sepanyol yang terkenal iaitu Pablo Picasso, pelukis dari Itali iaitu Leonardo da Vinci dengan lukisan Mona Lisa, Richard Clayderman dengan kepandaian mengalunkan piano yang sedap didengari ataupun pelukis komik nombor satu di Jepun iaitu Fujiko Fujio yang mencipta karakter Doraemon.
6. Di tanah air kita Malaysia juga apa kurangnya seniman-seniman kita yang sangat tinggi nilai-nilai estetiknya. Ada yang dianugerahkan dengan kemerduan lunak suara seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Dato’ Siti Nurhaliza, Dato’ Ramli Ibrahim, Dato’ Jimmy Choo dengan rekaan kasut-kasut yang sofistikated, Tan Sri Michelle Yeoh, Dato’ Bernard Chandran, Dato’ Ibrahim Hussin dan ramai lagi.
7. Tidak dilupakan juga Allahyarhamah Yasmin Ahmad yang mesej-mesej yang telah cuba disampaikan oleh penghasilan karyanya meninggalkan kesan yang mendalam kepada kita semua.
8. Saya berbangga dengan ahli-ahli seni dan pejuang industri kreatif negara kita yang telah mengetengahkan hasil-hasil seni mereka ke mata dunia. Oleh itu, sumbangan besar hasil kegiatan seni tidak harus dipandang remeh dan apatah lagi disekat. Sepatutnya kegiatan seni ini disuburkan dan perlu dipergiat lagi bagi menggalakkan penglibatan masyarakat khususnya golongan belia yang penuh dengan pelbagai idea kreatif dan matlamat.
9. Saya difahamkan bahawa Industri Kreatif di Malaysia hanya menyumbang 1.3% sahaja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK dan sumbangan ini adalah tidak begitu memberangsangkan.
10. Jika dibandingkan dengan negara-negara luar seperti di Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun mahupun Negara jiran kita Indonesia yang mana sumbangan industri kreatif mereka kepada negara berada di sekitar 5-7%.
11. Korea Selatan contohnya telah pun mempunyai perancangan pembangunan industri kreatifnya yang dikenali sebagai The Korea Creative Content Agency (KOCCA) yang telah dimulakan lebih 30 tahun dahulu. Kita boleh lihat, di mana Korea Selatan berada di mata dunia sekarang.
12. Kegilaan kepada muzik arus Korea Selatan yang telah mencipta satu fenomena yang dikenali sebagai K-Pop semakin melanda negara ini malahan di serata dunia. K-Pop nampaknya berjaya menarik remaja pelbagai kelompok tanpa sempadan bahasa pertuturan mereka.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,
13. Banyak perubahan dan pembaharuan yang telah dan sedang dilakukan oleh Kerajaan melalui inisiatif Program Transformasi Ekonomi atau ETP dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
14. Industri kreatif juga tidak ketinggalan dan tidak pernah dipinggirkan. Kerajaan sentiasa peka dengan keperluan industri kreatif untuk bersaing dan berdaya maju seperti industri-industri lain di Malaysia. Kerajaan amat prihatin terhadap suara nurani golongan penggiat seni tanahair yang boleh memainkan peranan penting untuk mencapai hasrat negara seperti yang saya katakan tadi.
15. Antara inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan antaranya pada tahun lepas, saya telah mengumumkan pengagihan kad 1Malaysia kepada golongan artis yang berdaftar dengan persatuan- persatuan kreatif.
16. Baru-baru ini pula, Kerajaan juga, melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia, atau MyIPO, sedang dalam proses untuk merumuskan rangka kerja untuk penilaian harta intelek atau ‘Intellectual Properties’ agar harta intelek tersebut dapat dinilaikan dan dapat digunakan sebagai cagaran kepada pinjaman yang dibuat oleh pemilik harta intelek tersebut.
17. Pada hari ini, satu lagi usaha Kerajaan dalam memartabatkan industri seni dan kreatif di Malaysia telah mula menampakkan hasil. Kerajaan telah menubuhkan MyCreative Ventures yang mempunyai visi dan misi yang murni, iaitu membantu industri kreatif negara untuk berkembang maju berpandukan tiga kata kunci, iaitu: (1) Nilai Kreatif; (2) Pulangan; dan (3) Mampan ataupun Nilai Kreatif dengan Pulangan yang Mampan (Creativity with Sustainable Rewards).
18. Ianya adalah untuk meneruskan usaha kreatif dengan tatacara yang menjanjikan pulangan dari segi ekonomi, membuka peluang pekerjaan dan juga pembangunan industri kreatif itu sendiri. Sekaligus, ini akan memberikan nafas dan semangat untuk perwatakan budaya Malaysia yang lebih bermakna.
19. Pada hari ini, MyCreative juga akan membuat pengumuman tentang pembiayaan kewangan kepada syarikat- syarikat kreatif yang layak. Mereka ini terdiri daripada penggiat-penggiat seni dan pengusaha-pengusaha industri kreatif yang mewakili semua peringkat termasuklah juga belia-belia yang menjadi harapan negara.
20. Saranan saya, khususnya kepada golongan belia yang berjaya, supaya dapat menjadi contoh kepada belia-belia Malaysia yang lain untuk mengikut jejak langkah anda untuk mengharumkan nama Malaysia sehingga ke persada antarabangsa.Tempa nama baik tuan-tuan dan puan-puan ke peringkat atau tahap yang paling tinggi kerana tiada yang mustahil dalam dunia ini jika kita betul-betul tekad untuk melakukan sesuatu dengan cekal.
Tuan- Tuan dan Puan-Puan sekalian,
21. Saya amat yakin karyawan seni tempatan mampu menghasilkan karya seni bermutu yang bakal menjadi bahan rujukan dunia dan berdaya maju dari semasa ke semasa.
22. Hanya dengan cara inilah Malaysia dapat menghasilkan harta intelek (Intellectual Properties) yang membolehkan pelabur-pelabur untuk berani dan berminat untuk berkecimpung di dalam bidang kreatif.
23. Dengan keyakinan ini, saya berharap pihak pelabur, khususnya institusi-institusi kewangan dan modal teroka, dapat mengikut jejak langkah yang ditunjukkan oleh MyCreative untuk melabur di bidang kreatif dan menjadi bidang yang perlu diberi perhatian.
24. Akhir kata, saya juga berharap bahawa pihak pengurusan MyCreative Ventures yang diterajui oleh Pengerusinya, Dato’ Sri Ahmad Farid Ridzuan, dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Johan Ishak, akan dapat mencapai hasrat dan aspirasi Kerajaan untuk meletakkan industri kreatif negara di peringkat yang membanggakan Malaysia, InsyaAllah.
Sekian, terima kasih.
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment