Yang Amat Berhormat, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.
Yang Berbahagia, Dato’ Sri Ahmad Farid Ridzuan, Pengerusi MyCreative Ventures, serta ahli Lembaga Pengarah MyCreative Ventures yang hadir hari ini.
Yang Berhormat-Yang Behormat, Yang Berbahagia, Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Dato’ Sri-Dato’ Sri, Datin Sri-Datin Sri, Dato’–Dato’, Datin–Datin, Tuan-Tuan, Puan-Puan dan pejuang-pejuang seni tanahair yang saya segani.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.
1. 30 tahun yang lepas, jika seorang anak ingin berkecimpung di dalam bidang kreatif, nescaya ibu-bapa mereka akan mengesyorkan bidang yang lain seperti menjadi doktor, atau akauntan, peguam dan lain-lain lagi profesional yang menjanjikan masa depan. Saya tidak terkecuali terutamanya apabila dari kecil lagi saya mengikuti perkembangan Allahyarham Dato’ Ibrahim Hussein.
2. Hari ini, kita lihat, ianya tidak menjadi masalah. Malahan, ratusan graduan dari institusi akademia tempatan menghasilkan bakat-bakat baru di dalam bidang kreatif. Kita ada pereka fesyen. Kita ada pemuzik, pengeluar animasi, pelukis seni visual, pelakon teater dan sebagainya.
3. Pengiat-pengiat seni tanahair yang berjaya bukan sahaja tergolong dari veteran-veteran seperti Tan Sri Michelle Yeoh ataupun Dato’ Ramli Ibrahim yang mendapat anugerah khas dari Royal Arts Gala Malaysia. Malah, kita juga ada nama-nama baru dari generasi muda.
4. Baru-baru ini, Shila Amzah bersama-sama Azlan & the Typewritter, kumpulan Bhangra Goldkarts dan Thomas Jack diketengahkan oleh RIM ke mata dunia di pesta muzik MIDEM di Cannes, Peranchis.
5. Dari sudut seni visual, nama-nama ahli seni visual seperti Mohd Noor, Husin Hourmain, Fadli Yusof, Daud Rahim dan Suhaimi Fadzir telah membuka mata dunia di World Islamic Economic Forum (WIEF) dengan hasil karya kontemporari mereka.
6. Kita juga ada belia-belia yang berani berkecimpung di dalam keusahawanan fesyen seperti Fadza dan Vivi yang meneraju laman web e-commerce fesyen, iaitu Fashion Valet.
7. Baru-baru ini juga penulis buku Tan Twan Eng mendapat pengiktirafan antarabangsa dengan hasil karyanya ‘The Gardens of Evening Mists’.
8. Banyak lagi nama-nama karyawan baru berjaya yang boleh saya ketengahkan tapi saya minta maaf senarainya terlampau panjang. Mungkin di majlis yang lain boleh saya sambung.
9. Mungkin anda akan bertanya, kalau sudah begitu tahap perkembangan industri kreatif, apa perlunya Kerajaan menubuhkan MyCreative Ventures?
10. Jawapannya ada di dalam aspirasi ekonomi negara. Walaupun ada peluang belajar bidang-bidang kreatif, tetapi peluang perniagaan masih belum mantap. Ini adalah kerana sumber modal permulaan ataupun modal perkembangan perniagaan bidang kreatif masih tidak mencukupi.
11. Di sinilah MyCreative memainkan peranan yang penting khususnya dalam memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha perniagaan kreatif untuk memperolehi pinjaman kewangan and suntikan pelaburan. Ini dapat membantu pertumbuhan sektor industri kreatif negara secara amnya.
12. Apakah kriteria-kriteria yang kami perhatikan? Antaranya ialah daya tarikan hasil seni itu sendiri. Lebih elok lagi jika ianya boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa. Syarikat-syarikat yang memohon perlulah berdaftar di Malaysia and majoriti pemiliknya adalah rakyat Malaysia.
13. Dan yang paling utama, ianya perlulah berlandaskan pengwujudan pendapatan ekonomi yang memadai dan berterusan (Economically and Sustainably Rewarding).
14. Pihak MyCreative sememangnya menggunakan teknik-teknik penilaian yang terperinci termasuk proses Due Diligence rancangan perniagaan pengusaha kreatif.
15. Ahli profesional warga MyCreative adalah terdiri dari akauntan bertauliah, bekas prefesional bank-bank perdagangan dan juga peguam. Kami juga mendapat khidmat nasihat dari pakar-pakar industri kreatif bila perlu.
16. Oleh itu, tidak hairanlah jika pengusaha-pengusaha kreatif terpaksa melalui proses yang panjang sebelum mereka diluluskan.
17. Tahun lepas MyCreative bersama-sama Fashion Valet telah menganjurkan acara Fashion Pitch di mana, ramai pengusaha fesyen muda telah mengambil bahagian. Hasilnya, 3 pemenang Fashion Pitch akan diberi skim kewangan pada hari ini.
18. Untuk menguatkan lagi gerakan MyCreative dalam usaha mencari usahawan-usahawan industri Kreatif yang berpotensi, kami juga akan berganding bahu dengan agensi-agensi yang lain seperti MDeC, Balai Seni Visual, FINAS, AIM, MAVCAP, MDV, Kraftangan Malaysia dan juga persatuan-persatuan seperti BDA, KLPACC, RIM dan banyak lagi.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan
19. Saya difahamkan, di United Kingdom, seorang pemuzik mahsyur, David Bowie, dapat mengumpul berjuta-juta Dollars untuk dilaburkan ke dalam perusahaan muzik beliau di dalam bentuk Asset Backed-Securitisation, iaitu salahsatu format pelaburan. Kalaulah keyakinan sebegitu ada pada pelabur-pelabur Malaysia, saya yakin industri kreatif negara dapat berkembang maju dengan pesatnya.
20. Oleh itu, sebagai pemangkin kepada aktiviti pelaburan dan permodalan untuk industri kreatif negara, MyCreative Ventures dengan berbesarhatinya akan mengumumkan hari ini, pemberian skim kewangan kepada syarikat-syarikat kreatif yang baru-baru ini lulus penilaian model perniagaan mereka.
21. Mereka ini terdiri daripada 15 buah syarikat Kreatif tempatan dengan pelaburan terkumpul sebanyak RM21 juta merangkumi pengiat-pengiat seni visual, seni fesyen, muzik, teater, perfileman, perisian Video Game dan juga kolej akademia bidang-bidang kreatif.
22. Sebagai penutup ucapan, saya ingin berfalsafah seperti yang pernah saya ucapkan di Facebook dan di Twitter. Ianya berbunyi begini:
“Berilah seniman suatu taraf kelainan. Satu tahap apresiasi sebagai penyumbang ilmiah tamadun manusia”
Kalau hendak dipetik dari seniman yang mahsyur, Allahyarham Ibrahim Hussein pernah berkata:
"Seniman berkarya dari lubuk naluri yang datang dari keperibadian seniman itu sendiri untuk dunia yang kita semua kenali"
Saya ingin meluahkan rasa Terima Kasih ke atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk meneraju MyCreative Ventures. Moga-moga usaha akan bertemu kejayaan, InsyaAllah.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada Y.A.B. Perdana Menteri kerana menjadikan impian MyCreative ini satu kenyataan. Dengan ini, saya sudahi ucapan saya dengan kalimah suci, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia. Terima Kasih.
No comments:
Post a Comment