Animasi
boleh dikatakan hampir sinonim dengan zaman kanak-kanak dan remaja. Pada
awalnya, animasi dihasilkan sebagai satu hiburan bagi kanak-kanak dan remaja.
Dewasa kini, terdapat juga bahan animasi dewasa yang disasarkan bagi golongan
dewasa. Sebagai
contohnya, animasi Crayon Shin-Chan yang diterjemahkan kepada lebih daripada 20
bahasa di seluruh dunia sebenarnya merupakan animasi bagi golongan dewasa. Kartunisnya, Yoshito Usui pada asalnya melukis
komik Krayon Shin-Chan khusus bagi golongan suami di Jepun untuk
memahami betapa sukarnya para isteri mereka yang terdiri daripada surirumah dalam
menguruskan keluarga dan anak-anak mereka. Komik tersebut kemudiannya
diadaptasi menjadi animasi.
Jika
dunia perfileman ini berasal daripada fotografi, maka dunia animasi
sebenar-benarnya berasal daripada ilustrasi grafik. Daripada sekadar visual
(fotograi dan ilustrasi grafik) semata-mata, filem dan animasi menggabungkan
visual dan juga audio dalam satu konteks yang sama. Animasi berasal daripada
babak-babak ilustrasi grafik yang berubah sedikit demi sedikit dan seterusnya
dihidupkan menerusi pergerakan. Contoh yang paling mudah, anda boleh saksikan ‘flipbook
animation’ bagi idea kasar animasi ilustrasi tradisional.
Kemudiannya,
seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih, pelbagai teknologi
moden telah digunakan bagi menghasilkan animasi dengan memanipulasi objek nyata
yang difotografikan bagi mewujudkan ilusi pergerakan animasi. Teknik ini juga
digelar sebagai ‘stop-motion animation’.
Antara cabang-cabang bagi animasi jenis ‘stop-motion’ ini adalah animasi
pepatung (puppet animation), animasi tanah liat (clay animation), animasi ‘cut-out’
, animasi silhouette, animasi model, animasi ‘go-motion’, animasi objek dan
macam-macam lagi. Teknologi computer kemudiannya telah membawa industri animasi
ke satu lagi tahap di mana rekaan animasi boleh dihasilkan dengan menggunakan
teknik 2D, 3D dan sebagainya.
Antara animasi yang terawal ditayangkan
adalah Felix The Cat. Selain itu, animasi-animasi malar segar (ever-green)
seperti Popeye The Sailorman, Little Lulu, Mickey Mouse juga masih lagi
menggamit hati sesiapa yang pernah menontonnya. Selain daripada negara barat,
negara Asia yang diwakili oleh Negara Jepun juga menghasilkan manga dan anime
(animasi) yang tidak kurang hebatnya. Kebanyakan daripada animasi ini
walaubagaimanapun diadaptasi daripada komik antaranya Doraemon, Dragon Ball,
Slam Dunk, Sailormoon, Shibi Maruko Chan dan lain-lain lagi.
Jika dibincangkan tentang animasi tempatan
pula, animasi kita juga tidak kurang hebatnya. Sejarah animasi negara bermula daripada
animasi pertama yang dihasilkan oleh Filem Negara Malaysia seawal tahun 1978
dengan karya yang cukup memahat di ingatan para penonton iaitu Hikayat Sang
Kancil. Jika animasi luar negara lebih berunsurkan hiburan (barat) dan (Jepun), animasi ini lebih memberi pengajaran dengan
menyemarakan lagi nilai kebudayaan Melayu. Cerita-cerita pengajaran dan dongeng
Melayu ini kemudiannya dihasilkan lagi dengan beberapa lagi sambungan Hikayat
Sang Kancil seperti Sang Kancil dengan Buaya, Sang Kancil dengan Monyet, Sang
Kancil, Buaya dan kerbau dan macam-macam lagi.
Titik permulaan oleh Bapa Animasi Negara, Hasan Muthalib ini
kemudiannya disambung dengan kemunculan karya-karya yang tak kurang hebatnya
seperti Usop Sontorian (1995), Keluang Man p(1997), Silat Lagenda (1998), Cheritera (2001), Putih
(2001), Ranggi (2006), Bola Kampung (2007) Upin dan Ipin (2007), Geng:
Penggambaran Bermula (2009), BoBoiBoy (2011), War of the Worlds: Goliath (2012)
dan Bola Kampung : The Movie (2013).
Martabat
animasi negara perlulah diangkat setara dengan animasi-animasi antarabangsa
yang lain demi kepentingan negara sekaligus menyokong Dasar Industri Kreatif
Negara. Selain pilihan kerjaya populistik pilihan ramai seperti doktor, peguam,
akauntan dan guru yang dikatakan lebih cerah masa depannya, kerjaya dalam
bidang kreatif seperti animasi, filem, fesyen dan rekaan, seni visual dan
persembahan seni juga tidak boleh dianaktirikan kerana diversiti dan
kepelbagaian kunci utama kejayaan negara.
No comments:
Post a Comment