Monday, 2 September 2013

Malaysiaku berdaulat, Tanah Tumpah Darahku. 56 Tahun Kemerdekaan, 50 Tahun Bergelar Malaysia.




Malaysia berdaulat, tanah tumpah darahku. Inilah tema dan logo Kemerdekaan yang ke-56 yang telah ditetapkan bagi tahun 2013. Sebagai anak Malaysia yang dilahirkan di bumi bertuah ini, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kedaulatan negara kita terpelihara daripada apa jua ancaman yang mendatang hanya kerana di sinilah tanah tumpah darahku.

Negara kita boleh diibaratkan sebagai ibubapa kita sendiri. Kita tidak memilih mereka, sebaliknya kita telah ditakdirkan untuk mereka. Bagaimana kita melayan ibubapa kita? Penuh dengan kasih sayang, penghormatan dan sanjungan. Maka, itulah layanan yang sepatutnya kita curahkan kepada negara yang tercinta. Seperti ibubapa kita, negara kita juga ada kekurangannya. Namun, adakah kita mencemuh kekurangan ibubapa kita? Sudah tentu tidak, kita menerimanya dengan hati yang terbuka. Malah kadangkala kekurangan itulah yang membuatkannya unik dan istimewa.

Berbalik kepada erti kemerdekaan, ada yang menyifatkan kemerdekaan sebagai satu kebebasan kepada mereka. Kebebasan untuk bersuara, kebebasan daripada dijajah, kebebasan untuk bertindak dan macam-macam lagi. Namun, sebagai rakyat Malaysia, jangan lupa ikrar kita kepada negara yang tercinta. Mungkin kerana kita tidak lagi berada di bangku sekolah, sesetengah pihak telah melupakannya, namun perlu diingatkan inilah aspirasi negara dan ikrar kita sebagai rakyat Malaysia.

Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:

· Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya
· Memelihara cara hidup demokratik
· Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama
· Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak
· Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden
Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

· Kepercayaan kepada Tuhan
· Kesetiaan kepada Raja dan Negara
· Keluhuran Perlembagaan
· Kedaulatan Undang-undang
· Kesopanan dan Kesusilaan

Oleh itu, sejauh mana pun kebebasan yang kita fikir kita ada, kita perlu berbalik kepada rukun yang 5 ini. Sekiranya semua rakyat Malaysia menyematkan ikrar ini di minda mereka sebelum bertindak dalam apa jua perkara, nescaya negara kita akan kekal aman dan damai.

Yang penting, hayatilah susah-payah perjuangan orang-orang terdahulu dalam mencapai kemerdekaan. Tanpa perjuangan mereka, kita pasti masih lagi di takuk lama.

Tak kira apa pun yang berlaku, ingatlah, Malaysiaku berdaulat. Tanah tumpah darahku! Pertahankanlah kedaulatan Malaysia, hayatilah erti kemerdekaan.







No comments:

Post a Comment